Bahan-bahan
2 biji Terung jenis panjang
250 ml Santan pekat
1200 ml Air
180 ml Minyak
1 kuntum Bunga kantan
3 helai Daun limau purut
65 gm Asam jawa
150 ml Air air asam jawa
1.2 kg Kepala ikan merah atau kerapu
8 biji Bendi- dibelah 2
2 biji Tomato-dipotong baji
Dikisar halus :
2 tangkai Cili kering - direndam air mendidih sampai lembut.
2 biji Cili merah
250 gm Bawang merah
7 ulas Bawang putih
2 cm kunyit hidup
2.5 cm Lengkuas
4 Serai
3 ½ camca besar Serbuk ketumbar
1 camca besar Jintan manis
¾ camca besar Jintan putih
Bahan perasa :
2 camca besar Kicap cair
2-3 camca teh Gula
1 kiub Pati Ikan bilis
1 camca besar Garam
Cara membuatnya
■ Potong terung 5 cm panjang. Kemudian belah dua tiap 1 dan belah tengah-tengah setiap 1. Rendam dengan air.
■ Panaskan minyak dan tumis rempah sehingga wangi.
■ Masukkan air, bunga kantan, daun limau purut dan air asam. Biarkan ia mendidih, perlahankan api dan renihkan selama 7 minit. Masukkan terung.
■ Besarkan api masukkan kepala ikan, kacang bendi, tomato dan bahan-bahan perasa serta santan pekat.
■ Apabila kepala ikan dan sayur masak angkat dari api.
Hidangkan panas-panas dengan nasi atau roti.
Thursday, August 11, 2011
Kari asam pedas kepala ikan
Posted by Wawa Anuar at 4:00 PM 0 comments
Ikan Kukus Berempah
Bahan-bahan
1 ekor Ikan Merah / Siakap (500 gm)
½ camca teh Garam
½ camca teh Tepung jagung
Perapkan selama10 minit
1 kuntum Bunga kantan
1 batang Serai
5 biji Cili merah Dikisar halus
2 helai Daun limau purut (a)
15 gm Halia muda
2 ulas Bawang putih
Perasa
¾ camca teh Garam / mengikut rasa
2 camca besar Gula
2 ¼ camca besar Jus limau kasturi
1 ¼ camca teh Serbuk ikan bilis (b)
¾ camca teh Tepung jagung
Sedikit minyak sawit untuk gris pinggan
Hiasan : Daun ketumbar
Cara membuatnya
■ Letak ikan di atas pinggan.
■ Campurkan bahan (a) dan (b)
■ Tuangkan rempah di atas ikan & kukus hingga masak atas api yang besar
■ Hiaskan & hidangkan panas-panas
Posted by Wawa Anuar at 3:56 PM 0 comments
Ayam Goreng Lada Putih
Bahan-bahan
1.5 kilogram Ayam. Dipotong kepingan.
3 sudu besar Kicap cair
5 sudu besar Kicap pekat
3 camca teh Serbuk lada putih
2 ¼ camca besar Gula
3 sudu besar Minyak masak
5 ulas Bawang putih. Dikupas & dicincang halus-halus
200 ml Air
Bahan hias
1 tangkai Daun bawang. Dipotong-potong 2.5cm panjang
1 tangkai Cili merah. Dihiris tipis-tipis
5 helai Daun salad Cina
Cara membuatnya
■ Perap ayam dengan kicap cair & pekat, lada putih serta gula selama 1 jam
■ Panaskan minyak masak & tumis bawang putih sehingga wangi. Masukkan ayam yang diperap & goreng selama 3 minit
■ Tambah air & biarkan mendidih. Kecilkan api & renihkan selama 20 minit sehingga ayam empuk & kuah pekat
■ Hias dengan daun bawang, cili merah & daun salad Cina
Posted by Wawa Anuar at 3:49 PM 0 comments
Berpantang Secara Rawatan Tradisional di Kalangan Masyarakat Melayu
Aspek penjagaan diri bagi ibu-ibu bersalin semakin dipandang remeh dan diambil ringan oleh ramai wanita hari ni terutama amalan berurut, bertuam, bertungku, bertangas dan berbengkung. Tidak dinafikan amalan ini agak leceh, tetapi kesan dan hasilnya berpanjangan. Sekiranya penjagaan diri semasa dalam pantang bersalin diabaikan, kesannya mungkin tidak berlaku serta-merta. Namun apabila melalui kelahiran yang banyak, usia mula meningkat, daya tenaga semakin menurun, barulah terasa lenguh-lenguh dan bisa urat, sendi serta otot, sakit pinggang dan kebas tangan. Apabila keadaan ini berlaku, kebanyakan ibu menjadi dingin dan lemah tenaga batin.
Berikut adalah amalan-amalan ketika dalam pantang yang perlu dilakukan ketika berpantang.
* Bertungku
* Berurut menyegarkan badan
* Mandi Dedaun / Mandi Susu
* Lulur Scrub
* Bertangas
* Memakai bengkung
* Bertasak
* Minum air akar kayu dan jamu
* Makanan berkhasiat untuk yang berpantang
Berpantang merupakan tempoh waktu membosankan bagi setiap wanita selepas bersalin kerana menunuggu selama 44 hari ibarat bertahun lamanya. Namun bagi mereka yang tahu akan rahsia berpantang, saat ini dipergunakan semaksimanya untuk mengembalikan kecantikan dan kesihatan diri luar dan dalam.
Amalan yang diwarisi daripada nenek moyang tidak sukar dilakukan, malah dedaun dan herba yang digunakan bagi tujuan rawatan, kini boleh dibeli di pasar harian. Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan dedaun, rempah-ratus dan herba untuk tujuan rawatan sendiri, bolehlah mendapatkan set bersalin lengkap yang sedia dijual di pasaran. Kini terdapat pelbagai gedung kecantikan yang menjual dan menawarkan rawatan kecantikan khas bagi ibu bersalin seperrti Mustika Ratu, Lia Sari, Sari Ayu, Nona Roguy dan banyak lagi.
Bertungku
Bertuam / Bertungku dilakukan selama 2 minggu pertama selepas bersalin dengan menggunakan batu sungai atau batu tanah liat. Rahim tidak boleh ditekan, hanya dituam. Tujuannya adalah untuk membantu mengecutkannya dengan mengeluarkan darah bantal dan angin toksin.
Bertungku dilakukan dengan tekan perlahan-lahan sehingga tenggelam sedikit tungku. Mula dari bahagian hulu hati ke sekeliling pinggang. Kemudian ke cawan peha dan berakhir di tundun. Buat berulang kali selama setengah jam. Dan akhiri di peha, celahan peha, lutut, kaki dan tapak kaki. Bertungku selepas 44 hari. Bolehlah menekan dan mencungkil peranakan. Perlu dapatkan mereka yang mahir jik atidak akan menyebabkan peranakan lari atau tidak kembali ke asal. Jika tiada mereka yang mahir bolehlah memakai bengkung sahaja.
Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 - 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia. Jika daun Morinda citrifolia tiada maka daun sirih iaitu nama sainsnya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan. Kesan panas dari tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.
Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari / bawah pusat dan di atas perut ( bawah buah dada ). Untuk kesan tungku yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.
Berurut menyegarkan badan
Urutan yang baik membantu memulihkan aliran darah, mencuci dan mengeluarkan darah, angin serta lendir yang kotor dan melawasakan nifas daripada tersekat atau tersumbat. Urutan dapat menenangkan emosi, meringankan tubuh badan yang lesu dan melegakan bisa otot dan sendi.
Dilarang mengasak, menekan, memaksa atau menolak peranakan dalam tempoh 2 minggu pertama. Ini kerana peranakan masih lemah, luka dan bengkak. Hanya urut dibahu, leher, dada dan payudara. Kemudian dari bahu ke siku, lengan dan jair-jemari.
Selepas 2 minggu sehingga 44 hari baru boleh disentuh di bahagian kedudukan rahim.
Namun jika rajin kita sendiri boleh membuat minyak urut.
Berikut adalah ramuan dan cara membuatnya :-
* Minyak kelapa, dibuat sendiri menggunakan santan daripada sebiji kelapa, dimasak hingga menjadi minyak.
* 3 camca besar halba
* 4 cm halia ( Zingiber officinale )
* 4 cm kunyit hidup ( Curcuma domestica )
* 3 ulas bawang putih ( Allium sativum )
* 5 biji bawang merah ( Allium cepa )
* Tumbuk kasar halia, kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah. Masak bersama halba dan minyak hingga panas. Sejukkan dan simpan di dalam bekas kering agar tahan lama.
Mandi
Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur.
Mandi Dedaun
Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa, kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri. Sebolehnya sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang. Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi ( Vitex negundo ), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai ( Lawsonia terma ), daun bonglai, daun mengkudu ( Morinda citrifolia ) dan rempah halba. Sekiranya ramuan ini payah dicari di bandar-bandar maka ibu-ibu boleh mendapatkan daun-daun yang dijual di pasar atau mudah dicari di rumah-rumah jiran berhampiran.
Berikut ialah contoh ramuan yang diperlukan untuk menyediakan air rebusan untuk mandi :-
* 1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
* 10 helai daun limau purut
* 6 batang daun serai bersama serai
* halia muda sebesar 4 kali ibu jari
* 7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
* 2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
* seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
* segenggam halba ( dipunjutkan )
cara menyediakan air mandi
Ambil periuk tanah ukuran sederhana. Sediakan bahan-bahan di atas. Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana. Masukkan halba yang dipunjutkan. Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air, suam-suam kuku sahaja.
Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua. Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari kaki kanan dahulu diikuti kaki kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri. Adalah penting memulakan jirus pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan.
Daun-daun rebusan tadi boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit. Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot di samping menghalang air dari masuk ke dalam badan. Adalah dipercayai amalan mandi cara ini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.
Mandi Lulur
Sebenarnya ilmu merawat wajah dan tubuh ini telah dikenali dan diamalkan kaum wanita sejak zaman dahulu lagi umpamanya puteri raja Mesir dahulu kala menggunakan kaedah mandi lumpur yang kaya dengan mineral untuk mencantikkan kulit. Begitu juga warisan nenek moyang kita sendiri yang membuat bedak lulur menggunakan campuran tepung beras, tulang sotong dan daun nangka, bedak sejuk cekur atau bedak kulit ari daripada batang rambai untuk melulur kulit.
Sebelum mandi seluruh tubuh akan dilulur dan bahan yang terkandung di dalam lulur bertindak sebagai ‘scrub’ bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama sel-sel mati akan turut tertanggal. Bagi yang berkemampuan mereka boleh mendapatkan khidmat rawatan mandian di pusat-pusat kecantikan yang terdapat di negara kita. Kebayakan ramuan mandian yang digunkan adalah berupa ramuan herba, akar kayu dan rempah ratus yang mempunyai khasiat rawatan yang tersendiri.
Bertangas
Ia dilakukan selepas mandi. Amalan ini penting agar luka dan jahitan cepat sembuh. Bahagian sulit juga cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta otot-otot yang kembang dan mengelakkan proplase ( keluar tombong ). Berbagai ramuan boleh digunakan untuk bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain.
Ramuan tangas:
* 9 keping asam gelugur
* 2 camca besar garam jantan
* 3 helai daun sirih ( Piper betel )
* segenggam inai ( Lawsonia terma )
* halia sebesar ibu jari ( Zingiber officinale )
* 3 biji manjakani
Caranya : Rebus semua bahan bersama air hingga mendidih. Angkat dan tangas selama kira-kira 20 minit. Untuk hasil yang baik ia dilakukan dua tiga kali sehari hingga 44 hari. Air yang sudah sejuk jangan dibuang, sebaiknya jadikan pencuci bahagian sulit.
Berbengkung
Selain dari rawatan dalaman, kita perlu juga mengamalkan rawatan luaran. Antaranya ialah pemakaian param ke seluruh badan supaya badan tidak masuk angin dan memakai pilis. Pilis disapukan memanjang menutupi dahi bertujuan untuk menghilangkan rasa pening yang sering dialami oleh wanita bersalin
Seterusnya sebelum memakai bengkung, sapukan perut dengan tapel ( ubat barut ) yang dicampurkan dengan lima titik minyak kayu putih, tiga titik minyak gandapura, kapur sirih dan perahan limau nipis. Khasiat tapel adalah untuk mengurangkan rasa sakit-sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut serta memulihkan kondisi kulit perut.
Selain menggunakan tapel, ramuan berjadam juga boleh digunakan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut. Antara ramuan berjadam adalah seperti berikut :-
* segenggam jadam ( diperbuat dari kayu gaharu atau lidah buaya )
* halia ( Zingiber officinale ) sebesar ibu jari
* isi kunyit terus sebesar ibu jari
* tiga ulas bawang putih ( Allium sativum )
* asam jawa ( Tamarindus indica ) sebesar bola pingpong
* secawan air kosong
* periuk tembikar dan sudip
cara membuatnya:
Masukkan jadam di dalam periuk tanah. Tumbuk halia, isi kunyit terus dan bawang putih selumat-lumatnya. Kemudian gaul dengan jadam dan campur perahan air asam jawa. Jerang di atas api perlahan hingga mengggelegak.
cara menyapu jadam:
Biarkan jadam suam-suam kuku. Bentang barut dan baring di atasnya. Selepas itu sapu jadam pada seluruh perut hingga ke bahagian ari-ari. Tutup dengan kain kecil dan ikat barut dengan kemas. Seterusnya untuk lebih kemas pakailah bengkung.
Bengkung haruslah diikat ketat dan kemas meliputi bahagian punggung, perut sehingga bahagian bawah payu dara. Ini untuk mengelakkan bahagian-bahagian seperti punggung dan perut mengalami pengumpulan lemak yang membawa gejala buncit dan mengendurkan punggung. ( Rujuk lampiran 2 untuk cara-cara memakai barut dan bengkung )
Bertasak
Bertasak penting untuk memulihkan semula otot perut seperti sebelum melahirkan. Sebaiknya ia dimulakan selepas seminggu bersalin, dan diminum selepas makan. Ia hendaklah dilakukan sembilan hari berturut-turut, dua kali sehari pagi dan petang. Setiap tiga hari, bahan berlainan digunakan. Caranya, bahan-bahan ditumbuk sehingga lumat, dicampur setengah cawan air, ditapis dan diminum.
Pada hari pertama hingga ketiga, segenggam daun inai iaitu Lawsonia terma, garam jantan (secukup rasa) dan 1/2 camca teh lada hitam atau nama sainsnya Piper nigrum. Pada hari keempat hingga keenam, gunakan segenggam daun senduduk yang dikenali dengan nama Melastoma malabathricum dan garam jantan. Sementara pada hari ketujuh hingga kesembilan, bahannya adalah 5 cm kunyit iaitu Curcuma domestica, garam jantan dan 1/2 camca teh Piper nigrum.
Minum air akar kayu dan jamu
Minum ramuan ubat periuk adalah bagi membantu mengeluarkan angin, lendir dan darah kotor. Ini adalah untuk membersihkan, menyegarkan dan mengembalikan fungsi rahim di samping melawaskan sistem perkumuhan dan membantu pembuangan lemak berlebihan. Ia juga dapat memulih tenaga sekaligus dapat mengembalikan kesihatan serta kecantikan.
Makanan berkhasiat untuk yang berpantang
Jika merawat diri tetapi tidak berpantang makan samalah seperti mandi tidak bersabun. Pada minggu awal bersalin eloklah dimakan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim. Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok dimakan. Kalau ditanya pendapat orang tua-tua atau bidan kampung, mereka akan mengatakan ianya adalah untuk mengelakkan meroyan atau tempat peranakan menjadi licin dan tidak kembali ke tempat asalnya. Minum air batu atau minum terlalu banyak air juga akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang. Namun tidak diketahui sejauh mana kebenarannya akan perkara ini. Perkara yang nyata mengamalkan pantang makan selepas bersalin membuatkan ibu kembali sihat malahan anggun dan ceria kerana mengurangkan pengambilan lemak, gula dan minyak yang berlebihan.
Sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu ibu bersalin, dengan cara memasak yang berbeza, sama ada dipanggang, direbus atau dikukus. Lada hitam , halia, serai, asam gelugur dan rempah ratus adalah sebagai perisa yang dijadikan aroma serta membangkitkan selera makan ibu. Selain dari itu ulaman seperti pegaga (Centella asiatica), kunyit (Curcuma domestica), halia (Zingiber officinale), cekur (Kaempferia galanga), mengkudu (Morinda citrifolia) dan sebagainya boleh mengimbangi diet di dalam makanan ibu-ibu di samping mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa berpantang. Menurut orang tua-tua buah mengkudu (Morinda citrifolia) jika dimakan mentah mempunyai khasiat yang sama dengan seperiuk ubat akar kayu. Cara makannya, ia perlu dimakan dengan sedikit garam dan terus ditelan. Ia tidak boleh dikunyah kerana boleh menyebabkan mulut berasa terbakar. (Rujuk lampiran 3 untuk melihat resipi hidangan berkhasiat untuk ibu-ibu yang berpantang )
Makanan yang menyebabkan angin patut dielakkan. Angin atau dalam bahasa saintifiknya flatulence boleh didefinisikan sebagai situasi di mana seseorang terasa sangat kenyang. Menurut Mary Easaw, Pengurus Dietetik & Dietari di Intitut Jantung Negara, selain dari beberapa faktor tertentu, makanan turut menjadi penyumbang kepada masalah angin. Masalah angin yang disebabkan oleh makanan adalah berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain.
Makanan yang menyumbang kepada penghasilan angin di dalam perut;
* Legumes - kebanyakannya dari jenis kekacang kering, kacang panjang dan kacang soya.
* Susu dan hasil susu - susu, aiskrim dan keju.
* Sayur-sayuran - kubis, lobak putih, lobak merah, kubis brussel, bawang, kubis bunga, asparagus, timun dan brokoli.
* Sayuran berubi - kentang dan sengkuang
* Buah-buahan - prun, aprikot, epal, kismis, pisang, sukun, nangka, pear dan pic.
* Bijirin dan roti - kesemua jenis makanan yang mengandungi gandum dan produk daripada gandum termasuk bijirin, roti dan pastri.
* Makanan berlemak - makanan bergoreng, lemak daging, sos krim dan sos tartar.
* Cecair - minuman bikarbonat soda, fizi, minuman bergas, ubatan atau serbuk.
* Seserat (fiber) - kacang, oat, bran dan kacang panggang.
Posted by Wawa Anuar at 3:15 PM 0 comments
Sunday, August 7, 2011
Monday, August 1, 2011
RESIPI BERPANTANG 1
1. SUP IKAN HARUAN
Bahan-bahan:
1 ekor ikan haruan
2 cawan air
2 sudu makan minyak jagung
1 sudu makan lada hitam – ditumbuk
3 ulas bawang merah - ditumbuk [A]
2 ulas bawang putih - ditumbuk [A]
2 sm halia - ditumbuk [A]
1 keping asam keeping
Garam secukup rasa
Daun bawang & daun sup – dihiris
Cara menyediakan:
a) Ikan dipotong dan dibersihkan dengan air asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir. Bilas dengan air bersih. Toskan.
b) Panaskan minyak jagung dalam periuk. Tumiskan bahan A hingga wangi. Masukkan air.
c) Apabila mendidih, masukkan lada hitam, asam keping dan ikan. Kacau rata dan masak lagi hingga mendidih.
d) Taburkan daun bawang, daun sup dan garam. Kacau rata dan hidangkan.
2. IKAN HARUAN ASAM KUKUS
Bahan-bahan:
1 ekor ikan haruan – dibersihkan
1 cawan air asam jawa
3 sudu makan minyak jagung
2 sudu makan kicap cair
1 sudu makan serbuk lada hitam
sudu teh gula pasir
1 sudu teh tepung jagung - campurkan sedikit air
1 tangkai daun kesum
1 batang bunga kantan – dihiris
Garam secukup rasa
Bahan kisar [A]:
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sm kunyit hidup
1 sm lengkuas
1 batang serai – diketuk
1 sudu teh lada hitam – ditumbuk
Cara menyediakan:
a) Ikan digaul dengan garam dan serbuk lada hitam. Ketepikan selama 30 minit.
b) Panaskan minyak dalam periuk. Tumiskan bahan A hingga wangi.
c) Masukkan air asam jawa, kicap cair, gula dan garam. Bila mendidih, masukkan pes tepung jagung, daun kesum dan bunga kantan. Kacau hingga pekat.
d) Sementara itu, kukus ikan haruan tadi sehingga masak. Letak dalam pinggan.
e) Apabila kuah mendidih, tuangkan atas ikan tadi sehingga rata. Hidangkan.
3. DAGING LADA HITAM
Bahan-bahan:
500 gm daging lembu
1 biji bawang besar - dihiris
5 ulas bawang putih - dicincang halus
2 sudu makan minyak jagung
1 sudu makan lada hitam - ditumbuk kasar
1 sudu makan kicap manis
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Daging dihiris nipis dan dibersihkan.
b) Panaskan minyak jagung. Goreng daging hingga agak garing. Angkat.
c) Masukkan bawang besar dan bawang putih ke dalam baki minyak gorengan tadi. Kacau hingga wangi.
d) Kemudian masukkan semula daging, kicap, lada hitam dan garam. Kacau rata-rata kemudian angkat. Hidangkan.
4. PAIS IKAN TENGGIRI
Bahan-bahan:
2 potong ikan tenggiri (anggaran 400 gm) - dibersihkan
1 sudu teh asam jawa - campurkan 3 sudu makan air
1/2 sudu teh serbuk kunyit
3 helai daun pisang - dilayur
3 ulas bawang merah - ditumbuk (A)
1 biji cili merah - ditumbuk (A)
1 ulas bawang putih - ditumbuk (A)
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Satukan bahan A dengan serbuk kunyit dan air asam jawa. Tambah garam. Lumurkan campuran ini pada ikan hingga rata. Perapkan selama 30 minit.
b) Bungkus ikan ini dengan daun pisang. Bakar atas bara api atau dalam ketuhar dengan suhu 200 darjah C hingga masak. Angkat dan hidangkan.
5. IKAN SIAKAP PANGGANG
Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap
50 ml pati santan
1 batang serai - dikisar [A]
2 ulas bawang merah - dikisar [A]
1 sm kunyit hidup - dikisar [A]
1 ulas bawang putih - dikisar [A]
1 sudu makan minyak masak
1 sudu teh gula pasir
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Perap ikan dengan separuh bahan A selama 1 jam.
b) Letak ikan di atas aluminium foil. Bakar dalam ketuhar dengan suhu 180 darjah C selama 15-20 minit atau sehingga masak.
c) Panaskan minyak dan tumiskan lebihan bahan A hingga garing. Masukkan santan dan kacau hingga pekat.
d) Kemudian masukkan garam dan gula pasir. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan dengan ikan siakap.
6. IKAN TENGGIRI GORENG HALIA
Bahan-bahan:
1 keping ikan tenggiri
4 sm halia - dihiris & digoreng
2 sudu makan minyak bijan
1-2 sudu makan kicap manis
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh garam
Cara menyediakan:
a) Lumur ikan dengan garam dan serbuk kunyit. Biarkan selama 20 minit.
b) Panaskan minyak bijan dan goreng ikan sehingga garing. Ketepikan.
c) Tinggalkan sedikit minyak dalam kuali. Masukkan ikan semula. Tuangkan kicap dan kacau rata.
d) Angkat ikan dan letak ke dalam pinggan. Taburkan halia goreng di atasnya. Sedia untuk dihidangkan.
7. IKAN GELAMA PANGGANG
Bahan-bahan:
1 ekor ikan gelama
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Sedikit garam
Cara menyediakan:
a) Ikan dibersihkan. Jika suka, kelar badan ikan supaya ikan cepat masak.
b) Gaulkan dengan garam dan basuh hingga bersih. Toskan.
c) Kemudian gaulkan ikan dengan garam dan serbuk kunyit. Panggang atas bara api hingga masak. Sedia untuk dihidangkan.
8. AYAM KUKUS BERCUKA
Bahan-bahan:
8 ketul ayam
4 ulas bawang putih - ditumbuk
1 sm halia - ditumbuk
3 sudu makan cuka
Garam secukup rasa
Bahan tumbuk [A]:
1 sudu makan ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
Cara menyediakan:
a) Lumurkan ayam dengan bawang putih, halia dan garam. Perap selama 30 minit. Kemudian kukus ayam sehingga masak.
b) Tuangkan cuka pada ayam dan taburkan bahan A. Kukus lagi selama 5 minit.
Nota: Masakan yang mengandungi cuka sangat baik diambil oleh ibu selepas bersalin kerana dapat mengecutkan perut dan rahim.
9. AYAM MASAK BIJAN
Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam - dibuang kulit, dipotong & dibersihkan
4 sm halia tua - dihiris halus
3 sudu makan minyak bijan
1 - 2 sudu makan kicap manis
Sedikit garam
Air secukupnya
Cara menyediakan:
a) Panaskan minyak bijan dalam kuali. Tumis halia hingga wangi.
b) Masukkan ayam dan kacau rata. Tutup kuali dan masak ayam selama 20 minit dengan api kecil. Tuangkan sedikit air supaya tidak terlalu kering.
c) Akhir sekali, masukkan kicap dan kacau rata. Bila ayam masak, tutup api. Tambah garam jika perlu.
10. HATI MASAK BEREMPAH
Bahan-bahan:
300 gm hati lembu
2 sudu makan serbuk lada hitam
1 sudu makan serbuk rempah kari
1 sudu teh serbuk ketumbar
4 ulas bawang putih - dikisar [A]
2 ulas bawang merah - dikisar [A]
2 sm halia - dikisar [A]
1 sm lengkuas - dikisar [A]
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Hati lembu dipotong dan dibersihkan.
b) Gaulkan hati lembu dengan bahan A, garam dan serbuk rempah yang lain sehingga rata.
c) Perapkan semalaman di dalam bekas bertutup yang disimpan dalam peti sejuk.
d) Bakar dalam ketuhar pada suhu 200 darjah C selama 30 - 35 minit atau sehingga masak.
Nota: Hati lembu menambahkan darah.
11. HALWA HALIA
Bahan-bahan:
250 gm halia - dihiris nipis
250 ml air
5 ulas bawang putih - dibakar & dibelah dua
2 sudu makan gula pasir
1 sudu teh cuka
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Celur halia dalam air panas selama 5 minit. Toskan.
b) Masak gula pasir, garam, cuka dan air hingga mendidih. Sejukkan.
c) Masukkan halia dan bawang putih ke dalam mangkuk. Tuangkan air rebusan tadi. Tutup kemas dan biarkan semalaman.
12. JUS HALIA KURMA
Bahan-bahan:
200 gm halia
20 biji buah kurma
750 ml air masak
Cara menyediakan:
a) Tumbuk halia hingga lumat.
b) Belah buah kurma dan buangkan bijinya.
c) Jerang halia, kurma dan air dalam periuk. Renehkan selama 3 jam. Bila mendidih, perlahankan api.
d) Tapis dan kemudian hidangkan panas atau suam.
13. REBUSAN MANJAKANI
Bahan-bahan:
5 biji buah manjakani
500 ml air
2 sm halia tua
2 sm kunyit tua
2 keping asam keping
Cara menyediakan:
a) Satukan kesemua bahan ke dalam periuk.
b) Jerang di atas api sederhana hingga mendidih.
c) Perlahankan api dan renehkan selama 10 minit.
d) Tapis dan minum air ini setelah suam.
Nota: Manjakani berfungsi untuk mengering dan mengetatkan pangkal rahim. Tidak sesuai diminum oleh gadis/anak dara kerana ditakuti menjadi penyebab mandul.
14. REBUSAN PEGAGA
Bahan-bahan:
2 ikat pegaga
5 cawan air
Cara menyediakan:
a) Rebus pegaga dengan air di dalam periuk hingga tinggal anggaran 3 cawan air sahaja.
b) Minum apabila suam (2 kali sehari).
Nota: Minum air rebusan pegaga untuk membersihkan darah dalam tubuh ibu yang baru melahirkan anak.
15. TUMIS SAWI PUTIH
Bahan-bahan:
5 tangkai sawi batang putih - dipotong
1 sm halia - dihiris
10 ekor ikan bilis - dibersihkan
1 sudu teh minyak masak
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Cara menyediakan:
a) Tumiskan halia dan ikan bilis dalam minyak panas hingga garing.
b) Masukkan sawi. Kacau rata dan tuangkan air.
c) Tutup sebentar dan biarkan lembut. Tambah garam dan angkat.
Nota: Sawi putih membantu menambahkan susu ibu.
16. PERIA LADA HITAM
Bahan-bahan:
1 biji buah peria - dihiris
200 ml air
100 gm ikan bilis - dibersihkan
2 ulas bawang putih - dicincang halus
2 batang serai - diketuk
1 sm kunyit hidup - ditumbuk halus
1 sudu makan lada hitam - ditumbuk kasar
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk lada sulah
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Masukkan semua bahan kecuali peria ke dalam kuali. Jerangkan.
b) Kacau sekali-sekala hingga mendidih.
c) Masukkan peria dan masak lagi hingga empuk.
d) Masakan hendaklah dikacau selalu bila bertambah pekat dan kering.
17. TEMPE GORENG KICAP
Bahan-bahan:
5 keping tempe - dihiris panjang
50 gm ikan bilis - dibersihkan
3 ulas bawang merah - dikisar [A]
2 ulas bawang putih - dikisar [A]
2 biji cili merah - dikisar [A]
1 sudu makan kicap pekat
1 1/2 sudu teh cuka
1 sudu teh gula pasir
Sedikit daun bawang - dihiris
Minyak masak
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
a) Panaskan minyak dan goreng tempe hingga separuh garing. Toskan.
b) Masukkan ikan bilis dan goreng hingga garing. Toskan.
c) Tinggalkan sedikit minyak dan tumiskan bahan A hingga wangi. Jika perlu, masukkan sedikit air.
d) Masukkan tempe, ikan bilis, kicap, cuka, daun bawang, garam dan gula pasir. Kacau rata dan masak hingga kering.
18. SUP SAYUR CAMPUR
Bahan-bahan:
400 ml air
200 gm brokoli
1 biji lobak merah
1/2 biji lobak putih
1/2 batan seleri
3 helai daun kubis
Secubit serbuk pati ikan bilis
1 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa
Bahan tumbuk [A]:
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu teh rempah biji
1 sudu teh lada hitam
1/2 sudu teh jintan putih
Cara menyediakan:
a) Potong lobak merah, lobak putih dan seleri. Ceraikan brokoli menjadi berkelopak. Kubis pula dihiris kasar.
b) Panaskan minyak masak ke dalam periuk. Tumiskan bahan A hingga wangi.
c) Masukkan serbuk pati ikan bilis dan air.
d) Apabila mendidih, masukkan sayur-sayuran.
e) Bila sayur lembut, masukkan sedikit garam, kacau rata dan tutup api. Sajikan panas-panas.
Nota: Sayur-sayuran ini membanyakkan air susu ibu.
Posted by Wawa Anuar at 3:42 PM 0 comments
Labels: Resipi
